Monday, February 13, 2012

~KeSaN dArI rEzEkI yG HaRaM~


Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim, kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya.

Rezeki bermaksud bahan keperluan untuk hidup yang berupa pendapatan, penghasilan, pencarian dan peluang untuk memperoleh keuntungan. Manakala, haram bermakna sesuatu yang ditegah oleh hukum islam, tidak halal, tidak sah dan malahan berdosa jika dilakukan atau diamalkan. Khatib merasa terpanggil untuk membicarakan tajuk ini, kerana adalah didapati bahawa masih ramai di kalangan orang islam yang tidak pernah memikirkan atau mengambil berat tentang cara-cara untuk mendapatkan rezeki samada halal ataupun haram, dan mereka juga tidak pernah mempedulikan kesan daripada menggunakan sumber yang haram tadi untuk makan minum, memakai, membeli, menghadiah, menderma, membina dan melakukan apa-apa perbuatan yang bersangkut paut dengan kehidupan manusia.

Tingkahlaku manusia yang semakin rosak akhlaknya sekarang ini yang sebahagian daripadanya adalah berpunca dari sumber rezeki yang haram, yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka. Sesungguhnya setiap makanan yang dimasukkan ke mulut seseorang memang mempunyai hubungan langsung dengan tingkahlakunya.

Di antara sumber-sumber rezeki yang haram itu berpunca daripada melakukan perbuatan rasuah, penyelewengan, penyalahan guna kuasa, pilih kasih, tidak jujur, tidak amanah dan riba'. Sebahagian besar daripada perbuatan dari kumpulan ini biasanya dilakukan oleh golongan masyarakat yang berkuasa dan berkedudukan, kerana mereka memang mempunyai maklumat, hubungan, peluang dan kesempatan untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Manakala sebahagian lagi daripada anggota masyarakat akan terlibat pula dalam perbuatan memakan harta anak yatim, perjudian, loteri, ToTo, tikam ekor, tenung nasib, pelacuran, rompakan, pencurian, menyamun, melakukan perniagaan ke atas perkara yang diharamkan oleh syariat seperti menjual arak, pasaran saham hadapan, pasaran saham yang tidak halal, menipu dalam timbangan, menyorok barang, mencampur barangan elok dengan barangan rosak, menjual barangan yang merbahaya kepada kesihatan dan lain-lain lagi.

Mana-mana perbuatan tersebut akan dikira sebagai hasil rezeki haram yang apabila digunakan untuk membeli makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan kemudahan lain, maka ianya tetap haram. Oleh itu kesan pertama ke atas orang yang menggunakan sumber rezeki yang haram ialah doanya tidak diterima oleh Allah S.W.T., berdasarkan maksud sebahagian hadis dari Abu Hurairah berbunyi :

[Kemudian ia menyambutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, yang kusut masai rambutnya, lagi berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit sambil berdoa: Hai Tuhanku, hai Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram pula, maka bagaimanakah mungkin itu diperkenankan baginya?]

(Hadis riwayat Muslim)

Kesan kedua ke atas orang yang melakukan perkara yang haram dan menafikan hukum Allah S.W.T. jika ia tidak bertaubat dengan serta-merta, maka ia adalah seorang yang telah terkeluar daripada agama islam, dan jika ia meninggal dunia ketika belum sempat bertaubat, maka meninggalnya itu dikira sebagai seorang yang kafir.

Kesan ketiga ialah daging yang tumbuh pada badan dan membesar ke atas orang yang makan dan minum hasil daripada rezeki yang haram tadi akan hanya layak untuk dibakar oleh api neraka, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. :

[Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya].

(Hadis riwayat Al-Tarmizi)

Kesan yang keempat daripada yang rezeki haram di perolehi untuk mendapatkan kemewahan akan menyebabkan Allah S.W.T murka.Alllah S.W.T. akan menurunkan bala dalam bentuk kehancuran sesebuah negara. Mereka yang terlibat secara langsung juga telah turut menyumbang kepada kehancuran tamadun bangsa dan negaranya sendiri. Sebab itulah seseorang yang mempunyai sifat amanah dan tanggungjawab yang tinggi serta iman yang mantap dan kuat, sudah pasti tidak sanggup melakukan dosa yang sebegini berat, yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada diri dan umat manusia seluruhnya. Firman Allah S.W.T. bermaksud :

[Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya saat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri binasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya].

(Surah Al-Syara' : 16)

Kesan kelima daripada rezeki yang haram, akan menyebabkan harta seseorang tidak berkat, bahkan akan membawa kepada kehancuran bencana duniawi dan ukhrawi, sebagai contoh orang yang menerima hadiah ketika menjalankan tugas rasmi yang sudah dibayar gajinya, menyebabkan mereka tidak mampu untuk berlaku adil dan bertindak tegas dalam melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan, jika ini berlaku, maka bermulalah proses kehancuran sesebuah masyarakat dan negara, serta menerima balasan yang buruk dengan berdasarkan hadis dari Abu Humaidi Al- Sai'di, kisah ini berpunca dari petugas yang mengutip zakat yang bernama Lutbiah yang telah menerima wang hadiah ketika memungut zakat yang bermaksud :

[Mengapa para petugas zakat berbuat seperti itu, lebih baik dia duduk-duduk sahaja di rumah orang tua nya, apakah dia akan diberi hadiah?. Barangsiapa yang melakukan itu, iaitu menerima hadiah, maka di hari kiamat nanti, dia akan menanggung kembali hadiahnya di dunia itu dulu di atas bahunya apa-apa yang di terimanya, samada unta, lembu dan kambing].

(Hadis riwayat Muslim)

Setelah kita mendengar beberapa kesan berat dan amat menakutkan yang akan berlaku hasil daripada melakukan pelbagai perbuatan yang haram untuk mendapatkan rezeki, maka apakah tidak timbul sedikit pun rasa takut dan gementar di sanubari kita dengan azab dan janji Allah tersebut. Jika umat islam tidak mempunyai perasaan takut terhadap ancaman Allah S.W.T., dan sebaliknya masih terus melakukan perkara yang di haramkannya, maka sesungguhnya mereka itu telah termasuk dalam golongan orang yang bakal memasuki neraka Jahanam, berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. :

[Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti KeEsaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai].

(Al-araf : 179)

Manusia yang masih berani melanggar perintah Allah S.W.T dan berterusan melakukan maksiat dan kemungkaran secara terang-terangan mahupun tersembunyi untuk mendapatkan rezeki yang haram adalah merupakan manusia yang tidak mempunyai perasaan atau yang telah mati rasa kemanusiaannya, mana-mana manusia yang telah mati rasa kemanusiaannya, sebenarnya mempunyai penyakit jiwa yang parah dan mereka akan sanggup melakukan apa sahaja kemungkaran dan kejahatan demi menunaikan keinginan dan dorongan nafsu syahwatnya yang tidak pernah puas. Sikap dan tindakan ini juga sudah pasti akan mendapat dokongan yanag kuat daripada para iblis dan syaitan.

Sanggupkah kita untuk turut sama menjadi manusia yang terlibat secara langsung dalam menyumbangkan peranan terhadap kemungkaran dan di masa yang sama menjadi pemangkin dalam mengundang kemurkaan Allah S.W.T di muka bumi ini. Tidakkah kita takut dengan konsep dosa yang berterusan yang akan tanggung jika kita turut menjadi model dan ikutan yang mendorong manusia lain untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Adakah kita tidak merasa takut dan gementar dengan pertanyaan semasa kita berada di alam kubur dan seterusnya di padang mahsyar nanti. Berdasarkan hadis daripada Abu Barzah, soalan itu berbunyi begini:

[Tidak berganjak kedua kaki seseorang hamba (dihadapan Allah S.W.T) pada hari kiamat, sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya].

(Riwayat Al-Tarmizi)

Marilah kita meningkatkan muhasabah. Memandangkan kita masih berpeluang untuk memohon ampun dan bertaubat, maka ambillah kesempatan ini dan lakukanlah dengan penuh khusyuk, tawadduk mematuhi syarat-syarat taubat dan berjanji tidak mahu mengulangi lagi perbuatan yang diharamkan oleh Allah S.W.T demi untuk mendapat keredhaannya. Marilah kita selaku umat islam yang beriman dengan hari akhirat yang akan memberikan balasan balasan baik atau buruk bersama-sama membanteras perbuatan yang dimurkai oleh Allah S.W.T ini. Dengan tindakan ini ia bukan sahaja akan menyelamatkan diri dan keluarga, bahkan masyarakat dan negara kita. Rasulullah S.A.W menegaskan :

[Orang kaya bukanlah orang yang banyak hartanya, akan tetapi hakikat orang kaya adalah orang yang kaya hatinya].

(Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya orang Islam mengetahui bahawa rezeki atau duit yang mereka terima itu jelas daripada sumber yang haram maka haram bagi umat Islam memakannya.

Sumber atau hasil daripada judi boleh digunakan sekiranya orang Islam benar-benar dalam keadaan darurat. Darurat mestilah keadaannya sangat-sangat terdesak.

Contohnya, tiada langsung sumber halal. Sekiranya tak terima yang haram akan mati kelaparan. Maka dalam keadaan sebegini Islam mengharuskan, dengan syarat dihalalkan yang haram sekadar untuk selamatkan nyawa. Jika duit haram itu dihonoriumkan adalah haram bagi orang Islam.

Ayat-ayat al-Quran serta riwayat-riwayat hadis dan athar para sahabat yang sentiasa menjadi rujukan, antaranya:

Hadis yang diriwayatkan dari Abu Bakar ra ada dua jalan, yang pertamanya yang bermaksud: "Tidak akan masuk ke dalam syurga daging yang tumbuh dari sumber wang yang nerakalah yang layak baginya." (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya), manakala riwayat yang lain bermaksud: "Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram." (riwayat al-Khatib al-Tabriziy di dalam Miyskah al-Misbah).

Maksud hadis ini ialah tubuh badan atau daging yang membesar bersumberkan pendapatan haram maka di akhirat kelak sebagai balasan neraka jahanamlah tempat baginya sebagi balasan. Ini kerana Allah SWT mengharamkan setiap yang kotor serta sumber pendapatan yang melanggar syarak sebagai haram, sedang Allah SWT memerintahkan orang Islam hanya memakan yang baik lagi jelas halalnya.

Allah SWT memerintahkan hamba-hambanya yang benar-benar beriman agar menjadikan yang halal sahaja sebagai makan rutin harian. Ini kerana sumber rezeki atau pendapatan yang haram bukan sahaja melayakkan seseorang itu menjadi penghuni syurga bahkan turut memberi kesan kepada kelakuan manusia.

Allah SWT memerintah setiap Rasul-Nya agar makan yang halal lagi, supaya apa ditinggalkan oleh para Rasul menjadi ikutan bagi umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Mukminun: 51).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menyeru manusia keseluruhannya, termasuk Rasul-rasul, orang yang beriman dan Allah SWT turut mengajak yang belum beriman agar makan makanan yang halal kerana ia lebih baik. Firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekelian manusia makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Di dalam riwayat yang disampaikan oleh Ibn Mardawaih daripada ibn Abbas ra, tatkala ayat ini dibaca oleh sahabat di hadapan Rsulullah SAW, maka berdirilah Sa'ad bin Abi Waqqash. Dia memohon kepada Rasulullah supaya baginda memohon kepada Allah agar apa sahaja yang dipohon melalui doa oleh Sa'ad dikabulkan Allah. Maka baginda bersabda yang bermaksud: Wahai Sa'ad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah orang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad berada pada takdir-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang menyuapkan suatu yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan sesiapa di hamba Allah yang membesar dagingnya dari sumber yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik untuknya. (Disebut oleh al-Haithamiy di dalam al-Majma', jld:10, hlm:291, juga lihat; al-Munziriy, al-Targhib, jld:2, hlm:547. Hadis ini darjatnya lemah)
Ibn Kathir berpandangan: "Makanan yang yang baik untuk badan hendaklah makanan yang tidak memudaratkan jasad dan memudaratkan akal…" (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:1, hlm:434)

Pak Hamka berpendapat bahawa sumber dan rezeki yang haram besar pengaruhnya kepada akhlak dan tingkah laku manusia. (Tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hamka, jld:1, hlm:377).

Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. (al-Nahl:114)
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa akan datang umat di akhir zaman bersikap acuh tak acuh dalam urusan mencari rezeki, mereka tidak akan bertanya dari mana sumbernya juga tidak mencari dari mana datangnya. Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, mereka tidak peduli dari mana dia ambil rezekinya, tidak peduli halalkah atau haram rezeki yang diterimanya. (al-Bukhari, no:2059)
Mereka yang berakal serta sedar bahawa dunia ini ada penyudah dan perhitungannya.

Penghujungnya setiap orang akan berada di hadapan Allah SWT bagi menerima balasan, hal ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW daripada Mua'z bin Jabal yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kaki anak Adam selagi mana dia tidak menjawab akan empat soalan; jasadnya kemana digunakan, umurnya di mana dihabiskan, dan akan ditanya akan hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana pula dibelanjakan, serta apa yang dilakukan dengan ilmunya." (riwayat al-Tarmidzhi, jld:7, hlm:101, hadis hasan sohih)
Kebanyakan di antara kita tidak sedar bahaya rezeki haram, kesannya serta mudaratnya. Ada pula di antara kita yang tidak kisah dari mana datangnya rezeki itu.

Daripada Aisyah telah berkata yang bermaksud: Abu Bakar al-Siddiq pernah memiliki seorang budak suruhan. Pada suatu hari budak suruhan ini telah datang dengan membawa makanan, lalu Abu Bakar pun memakan dari apa yang dibawa oleh budak suruhan itu. Lantas budak suruhan itu bertanya kepada Abu Bakar, tahu tak kamu apa ini (makanan yang dibawa), Abu Bakar menjawab: Apa dia? Lalu budak itu memberitahu kepada Abu Bakar, dulu zaman jahiliah aku pernah menilik untuk orang ramai, sedang aku ini bukanlah seorang tukang tilik yang handal melainkan aku khianati orang dengan dustaan tilikan. Aku terserempak dengan orang yang pernah aku tilik lalu memberi aku makanan yang telah engkau makan sebentar tadi. Tanpa berlengah Abu Bakar telah memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan semua yang telah dimakannya. (riwayat al-Bukhari, no:3554, Kitab al-Manaqib)
Diriwayatkan juga bahawa Umar bin al-Khattab ra merasakan sesuatu yang tidak selesa setelah minum susu, lantas Umar bertanya kepada yang telah memberinya susu tadi, dari mana kamu beroleh susu ini? Orang yang memberinya menjawab aku telah memerahnya daripada unta yang disedekahkan ketika unta-unta sedang minum air.

Lantas Umar memasukkan jarinya kemudian memuntahkan apa yang telah diminumnya.
Pernah seorang wanita solehah berpesan kepada suaminya ketika keluar rumah mencari rezeki dengan berkata: Wahai suamiku! Takutlah kamu akan Allah di dalam mencari rezeki, sesungguhnya kami (anak isteri) boleh bersabar atas kelaparan tetapi tidak akan sabar menanggung api neraka.




Perkara yang haram terdapat di dalam rezeki

Apabila kita membeli makanan dan minuman dari rezeki yang haram, kemudian sari pati makanan yang haram akan menjadi darah pula. Dalam masa 40 hari, baru akan berganti darah yang bersih. Apabila darah yang haram terdapat sebesar zarah bercampur dengan darah yang murni, kemudian jantung akan membahagi darah kesekujur tubuh.

Apabila darah yang sebesar debu masuk pada jantung, orang tersebut akan mendapat penyakit was-was atau syak wasangka. Dan bila sampai kemulut, orang itu dapat penyakit suka mencaci dan memaki hamun, mengumpat dan berkata-kata perkara-perkara maksiat. Apabila jatuh ke kaki, dia akan berjalan-jalan ke tempat maksiat.

Rezeki yang haram apabila dibeli alat-alat rumahtangga, hidup dalam rumahtangga kacau bilau dan berantakan dan tiada ketenangan dan kedamaian di dalam rumahtangga. Kemudian apabila seorang mukmim, makan dan minum dari rezeki yang haram apa lagi orang yang memasak makanan dan minuman itu tidak bersolat atau sembahyang, makanan itu haram hukumnya.

Berasaskan Hadith RasululLah S. A. W. Di zaman para sahabat, ada seorang hamba Allah yang soleh mempunyai seorang anak. Kemudian anaknya sakit dan penyakitnya cukup tenat. Setelah diubat oleh banyak tabib, namun penyakitnya tidak juga sembuh (sihat). Sehingga pada suatu malam orang tua itu bersolat ISTIKHARAH. Selesai solat itu dia berdoa kepada Allah, Ya Allah, Ya Rabbi, Seandainya anakku ini baik baginya untuk mati ambillah Ya Allah. Aku redha dan ikhlas. Namun apabila baik baginya untuk hidup, sihat dan sembuhkanlah Ya Allah dari penyakitnya. Bila anakku sihat dan sembuh dari penyakitnya aku akan bernazar akan meminum darah anjing hitam dan akan mandi dengan air kencing anjing hitam. AlahamdulilLah berkat doanya itu. anaknya sihat dari penyakitnya. Namun dia tidak sanggup untuk membayar nazarnya.

Kemudian dia datang kepada RasululLah dan bertanya kepada baginda. Baginda memerintahkan agar dia mencari rumah seorang yang mengaku beragama Islam, namun orang itu tidak pernah solat di rumahnya. Apabila hari hujan, tampunglah air cucuran atapnya. Kemudian minum dan mandilah dengan air itu, akan melebihi darah dan kencing anjing hitam.

Demikianlah pentingnya solat bagi orang yang beragama Islam. Sahabat nabi dan menantu nabi iaitu Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata, apabila setitis arak tertumpah jatuh ke dalam perigi. Kemudian kering air perigi itu, lalu tumbuh rumput disumur itu (perigi). Aku tidak akan mengembala ternakanku disitu. Oleh sebab itu marilah jadikan sebagai iktibar peristiwa tersebut di atas. Supaya kita orang mukmin berjaga-jaga dari hal makanan dan minuman yang diharamkan bagi kita umat Islam.

1 comment:

  1. Saya nak bertanya, apakah hukum memungkiri janji yang akan membawa kemungkaran? maksud saya kalau Perempuan A berjanji dgn lelaki B untuk berjumpa dia atas niat untuk melakukan maksiat, akan tetapi perempuan A itu bertindak memungkiri janjinya kerana sedar dan insaf akan perbuatan itu mengundang dosa yg besar. Adakah memungkiri janji sperti itu juga tergolong antara mereka yang berdosa?

    ReplyDelete

My MixPod